KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pembangunan Lestari dan Green Ranger UMT mengambil inisiatif mempergiatkan kempen kesedaran awam tentang bahaya penggunaan plastik sekali guna.
Ketua projeknya, Dr. Izan Jaafar berkata, kempen “Let’s Refuse Plastic at Pasar” dilancarkan untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengelakkan penggunaan plastik sekali guna demi menjaga kelestarian alam.
Katanya, sisa plastik ini kebanyakannya berpunca daripada plastik sekali guna yang dibuang sesuka hati dan dihanyutkan ke sungai seterusnya ke lautan dan akhirnya merosakkan ekosistem marin.
“Plastik mengambil masa ratusan tahun untuk terurai dan memberi kesan buruk kepada hidupan marin seperti penyu, burung laut dan ikan yang tidak sengaja memakan cebisan plastik.
“Ini menyebabkan kerosakan besar pada ekosistem akuatik yang menyokong kehidupan manusia,” katanya.
Menurut laporan oleh penyedia perkhidmatan tenaga berpangkalan di United Kingdom, Malaysia merupakan salah satu daripada sepuluh negara penyumbang pencemaran plastik tertinggi di dunia, situasi yang amat membimbangkan.
Lambakan sisa plastik berada pada tahap kritikal dan memberi kesan buruk terhadap sistem pengurusan sisa negara malah merosakkan ekosistem global.
Mengulas lanjut, Izan berkata pasar tani dan pasar malam menyumbang sebanyak 0.586 kg/m² sisa dan sebahagian besar daripadanya adalah plastik.
Katanya, tiada kesedaran sivik dan mentaliti pengguna yang memandang remeh terhadap isu pengurusan sisa adalah faktor utama perlu ditangani dengan pendekatan yang holistik.
“Sebagai langkah awal, kempen itu dijalankan di pasar tani kerana lokasi itu dikenalpasti sebagai kawasan tinggi penggunaan plastik.
“Dengan penglibatan 60 peserta, termasuk pelajar sekolah, NGO, pelajar UMT dan pihak kerajaan negeri, kempen ini bertujuan menggalakkan alternatif seperti menggunakan bekas mesra alam dan beg yang boleh diguna semula dan kita turut mengagihkannya semasa kempen ini dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Izan berkata, menyemai amalan mesra alam seperti kitar semula dan penggunaan produk mesra alam sejak usia muda adalah langkah penting dalam membantu mengurangkan sisa plastik serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB seperti SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air).
“Sebagai sebuah universiti yang terkemuka dalam kajian marin dan alam sekitar, UMT bertekad menjadi peneraju dalam memerangi pencemaran plastik.
“UMT berhasrat untuk memperkukuh komitmen masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar sekali gus memperlihatkan kesungguhan UMT dalam mendidik komuniti untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih mampan,” ujarnya. – UTUSAN