Ular sawa batik 50kg disyaki lapar ditangkap APM

Ular sawa batik 50kg disyaki lapar ditangkap APM

ANGGOTA APM Gua Musang berjaya menangkap ular sawa batik yang berada berhampiran rumah penduduk di Kampung Baru Star, Gua Musang, Kelantan semalam.- IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram (kg) yang menjalar di tepi rumah penduduk di Kampung Baru Star, di sini ditangkap  pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang semalam.

Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, reptilia sepanjang empat meter itu ditangkap tiga anggota APM selepas pihaknya menerima aduan pada pukul 8 malam.

Menurut beliau, anggota APM mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular sawa yang berada berhampiran kawasan rumah penduduk.

“Operasi menangkap haiwan itu agak sukar kerana haiwan itu  agresif dan berkemungkinan sedang dalam kelaparan. Operasi selesai kira-kira pukul 9 malam,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mohd. Hanafi berkata, ular sawa batik itu akan diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, pemilik rumah, Nur Anis Haitikah, 22, berkata, ular sawa terbabit berada kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Ini merupakan kejadian pertama saya melihat ular sawa berhampiran rumah dan sangat terkejut dengan saiznya yang besar.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana ular sawa itu tidak sempat masuk ke dalam rumah. Saya amat berterima kasih kepada anggota APM yang bertindak pantas menangkap reptilia itu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya