ALOR GAJAH: Pelajar dan guru Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) al-Faizin, Taman Sutera di sini gempar apabila seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter dengan berat 30 kilogram (kg) ditemukan dalam longkang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari Khamis lalu, seorang murid perempuan terpandang objek berkilat sewaktu sedang bermain bersama rakan berdekatan kantin, sebelum melaporkan perkara itu kepada guru.
Guru yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat berkata, sejurus menerima aduan, mereka pergi memeriksa dan mendapati ia adalah ular sawa batik, lantas menghubungi Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah untuk meminta bantuan.
“Murid terbabit secara tidak sengaja ternampak objek berkilat dalam longkang sebelum memberitahu guru kerana mengesyaki ia adalah seekor ular berdasarkan corak pada kulitnya.
“Sebelum ini kami pernah menemui anak ular sawa di kawasan sekolah dan telah menghalaunya tetapi kali ini ular sawa yang ditemukan sangat besar hingga memerlukan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM),”katanya.
Pegawai PDPA Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, seramai empat anggota bergegas ke lokasi dan mereka mengambil masa hampir 20 minit menangkap haiwan berkenaan menggunakan penjerut dan pengepit.
“Ular sawa yang ditangkap itu sepanjang kira-kira tiga meter dan berat hampir 30 kilogram. Ia dibawa sementara waktu ke PDPA Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN