KUALA LUMPUR: Bagi memenuhi keperluan watak untuk projek terbaharu, pelakon dan ahli kumpulan K-Clique, Noki, berjaya menurunkan berat badan sehingga 13 kilogram.
Bagi mencapai berat yang diinginkan pengarah, Noki atau nama sebenar, Ahmad Ikhwan Aji, 29, hanya makan berat sekali sehari selain tidak bersenam di gim seperti selalu.
“Sebelum ini berat asal saya ialah 88 kilogram. Namun bila masuk set penggambaran berat saya 75 kilogram demi mengikuti kesesuaian watak.
“Apa yang saya lakukan ialah tidak pergi gim kerana otot badan sangat mempengaruhi berat. Selain itu saya kurangkan makan.
“Dalam sehari, saya hanya makan dua kali sahaja itupun nasi campur untuk tengahari manakala hanya makan roti sahaja di sebelah malam. Dengan ini, automatik berat badan saya berkurangan,” katanya.
Noki ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran drama Unifi TV Originals berjudul Sebelum Titik Noktah, baru-baru ini.
Susulan penurunan berat badan, artis asal Kota Kinabalu, Sabah, itu sering mendapat komen wajahnya seakan-akan mirip pelakon, Hun Haqeem.
“Kalau saya buat sesi siarang langsung, ramai yang tegur cakap wajah saya sama macam Hun Haqeem. Saya okay sahaja sebab Hun pun ‘brother’ saya sama-sama asal Borneo yang hebat.
“Ada juga yang kata saya seiras Fad Bocey. Ikutlah, kerana padangan orang berbeza-beza.
“Tidak kurang juga ada yang tanya adakan saya sakit kerana berat badan menyusut. Mungkin wajah saya nampak penat buat mereka sangka begitu,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Noki bakal tampil dalam drama bergenre fiksyen dan thriller iaitu Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin, jam 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
Drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Puteri Balqis, Danny , Shabby, Mathni Razak, Alif Muhaimin, dan ramai lagi. -UTUSAN