HULU TERENGGANU: Seorang tukang masak warga Thailand maut setelah van dinaikinya merempuh sebuah treler membawa muatan kayu palet di Kilometer 395.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Marowi Charu, 41, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian setelah putus kaki kiri serta cedera pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kemalangan berlaku ketika van Toyota Hiace dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, Kelantan ke Kuantan, Pahang.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila van dipandu Sobueree Che-Noh, 35, secara tiba-tiba terlanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri lalu berpusing dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri.
“Akibat daripada itu, mangsa putus kaki kiri dan cedera anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Pemandu pula cedera di belakang badan serta pinggang, manakala penumpang belakang, Roya Mamah, 36, tidak cedera. Kedua-dua mereka juga warga Thailand dan bekerja sebagai tukang masak, ” katanya ketika dihubungi.– UTUSAN