Tujuh sekeluarga berpelukan redah banjir selepas kereta hanyut

Tujuh sekeluarga berpelukan redah banjir selepas kereta hanyut

ROHAIDA Razali (kiri) ditemani Nur Hidayah menunjukkan gambar keadaan kenderaan yang dinaikinya yang masih ditenggelami banjir ketika kejadian di Kuala Pilah semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kejadian banjir  semalam  tidak akan dilupakan oleh tujuh sekeluarga dari Tampin apabila mereka terpaksa meredah banjir setinggi lebih satu meter untuk ke tempat lebih tinggi untuk menyelamatkan nyawa masing-masing.

Kejadian tersebut berlaku awal pagi selepas kenderaan yang dinaiki mereka dihanyutkan air deras di Jalan Dangi-Bahau, di sini,

Rohaida Razali, 29, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan bersama suami, Akhir Abdul Talib, 32, tiga anaknya termasuk bayi berusia 10 bulan serta dua anak saudaranya berusia hingga tujuh tahun dari Pondoi, Tampin untuk ke rumah kakaknya di Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah.

Menurutnya, ketika kejadian dia meminjam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora kakaknya, Nur Hidayah, 35, kerana turut membawa bekalan pelbagai jenis sayur-sayuran seberat 50 kilogram untuk dijual dalam Program Jualan Rahmah Madani.

“Semasa dalam perjalanan tu memang tengah hujan, pada mulanya air naik sedikit sahaja atas jalan, suami teruskan perjalanan. Kemudian tiba-tiba sahaja air deras lalu dan kenderaan kami dihanyutkan.

“Ketinggian air sudah sampai setengah badan  kenderaan sebelum  kenderaan tersekat dalam longkang. Kami hubungi pasukan penyelamat dan diarahkan untuk tunggu di lokasi di atas bumbung kenderaan sementara menunggu bantuan tiba.

“Kami naik ke atas bumbung kenderaan namun air naik mendadak menyebabkan suami mengambil keputusan untuk segera meredah banjir ke kawasan lebih selamat. Mujur ada tiga pelampung di dalam kenderaan dan anak-anak kecil berkongsi menggunakannya,” katanya ketika ditemui di Pekan Dangi, Johol di sini.

Menurut Rohaida, mereka sekeluarga berpelukan beramai-ramai dan meredah banjir kira-kira satu kilometer sebelum  ternampak sebuah kediaman di atas bukit. 

“Kami pergi ke rumah itu  dan mujurlah ada sebuah keluarga yang sama-sama sudah berada di atas bukit kerana rumah mereka juga dinaiki air.

“Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari lokasi tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam,” katanya.

Katanya, ketika diselamatkan, air banjir sudah  surut, namun kenderaan dinaikinya itu masih lagi ditenggelami.

“Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang bekalan makanan dan pakaian untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Sementara itu, menurut laman sesawang Info Bencana JKM, setakat pukul 4.15 petang ini, seramai 2,004 mangsa banjir daripada 574 keluarga kini masih berada di 14 buah PPS yang dibuka di tiga buah daerah yang terjejas banjir susulan hujan berterusan, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya