Tujuh anggota polis di Kedah tidak mengaku ambil dadah di pusat hiburan

Tujuh anggota polis di Kedah tidak mengaku ambil dadah di pusat hiburan

SALAH seorang daripada tujuh anggota polis yang didakwa menyalahgunakan dadah di pusat hiburan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tujuh daripada 12 anggota dan pegawai polis yang ditahan khayal di sebuah pusat hiburan di daerah ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan penyalahgunaan dadah, awal bulan lalu.

Tertuduh, Sarjan Mohd. Khairi Zakaria, 55; Lans Koperal Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 29; Lans Koperal Wan Muneer Abdullah, 36; dan Mohd. Fazly Long, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Turut tidak mengaku bersalah adalah Lans Koperal G. Selva Kumar, 36; Lans Koperal T. S. Sarvindran, 28; dan Koperal Muhammad Azri Zakariya, 35.

Pertuduhan terhadap kesemua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Yan dan Pendang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi dan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh tertuduh itu didakwa memasukkan dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke dalam badan mereka di sebuah pusat hiburan di Jalan 3, Aman Square, di sini antara pukul 4.20 pagi hingga 7.23 pagi, 2 Oktober lalu.

Turut dituduh seorang lagi anggota polis, Francis Nawan Johny, 35, yang didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Muda pada pukul 12.25 tengah malam, tarikh sama.

Berikutan itu, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa dan Nur Hazwani Md. Noor, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat mengikut tarikh ditetapkan. Sebutan semula ditetapkan antara 3 hingga 12 Disember ini.

Pada 3 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia mengarahkan kesemua 12 anggota dan pegawai yang didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan itu digantung tugas serta-merta.

Beliau berkata, arahan itu telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh selain siasatan turut dijalankan terhadap penyelia pegawai dan anggota berkenaan.

Menurut Razarudin, penyelia terbabit juga akan dipindahkan daripada jawatan semasa kerana mereka tidak layak untuk menguruskan anak buah masing-masing dan menegaskan pihaknya tidak akan melindungi ‘buah buruk’ yang boleh mencemarkan nama pasukan polis serta akan mengambil tindakan tegas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya