KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu membawa calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan pedalaman yang terputus hubungan untuk menduduki peperiksaan itu yang bermula 2 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon-calon terlibat akan dibawa menggunakan trak-trak tentera bagi membolehkan mereka menduduki SPM.
“Saya mohon kepada guru besar, pengetua dan guru-guru yang menjaga calon SPM ini dapat berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Langkah ini supaya tiada calon yang tertinggal untuk mengambil SPM,” katanya kepada pemberita selepas turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS SK Tapang, di sini hari ini.- UTUSAN