TLDM selamatkan empat nelayan Indonesia hanyut di Selat Melaka - Utusan Malaysia

TLDM selamatkan empat nelayan Indonesia hanyut di Selat Melaka

ANGGOTA TLDM menyelamatkan nelayan Indonesia yang hanyut di perairan Selat Melaka semalam. - UTUSAN/IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan empat nelayan dari Tanjung Balai, Indonesia, yang hanyut selama beberapa hari di perairan Selat Melaka, tengah hari semalam.

Kesemua nelayan tersebut hanyut selepas bot mereka karam akibat dilanggar sebuah kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.

Menurut Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan berhampiran perairan Pulau Jarak pada pukul 1.40 tengah hari.

“Nelayan tersebut seterusnya telah dibawa ke Pulau Jarak oleh bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Stesen Jarak TLDM untuk menerima rawatan awal,” jelas kenyataan itu.

Menurutnya, Kapal Diraja (KD) Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Patroli Terkoordinasi Malaysia-Indonesia Siri 166 Tahun 2024 (Op Patkor Malindo 166/24), telah ditugaskan untuk memindahkan mangsa dari Stesen Jarak ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani yang berada kira-kira 40 batu nautika, barat laut Pulau Jarak.

Jelasnya, penyerahan nelayan-nelayan tersebut kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan kedua-dua negara pada pukul 12.40 tengah malam tadi.

Jelasnya, Op Patkor Malindo itu turut melibatkan penyertaan KD Laksamana Muhammad Amin dan KRI Bubara.

Katanya, usaha menyelamat mangsa itu membuktikan objektif Op Patkor Malindo telah tercapai dan memberi keyakinan kepada komuniti maritim.

Pada masa sama, pelaksanaan Op Patkor Malindo bersama pihak Indonesia telah memudahkan penghantaran semua mangsa dengan berkesan.

“Kejayaan ini mencerminkan hubungan erat serta semangat sepakat yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), khususnya antara TLDM dan TNI-AL.

“Hubungan strategik ini menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap keselamatan perairan Selat Melaka, sekali gus memperkukuh kestabilan maritim di rantau ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya