PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan empat nelayan dari Tanjung Balai, Indonesia, selepas bot mereka karam akibat dilanggar sebuah kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan negara berkenaan.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang hanyut beberapa hari di laut ditemui oleh bot nelayan tempatan berhampiran perairan Pulau Jarak pukul 1.40 petang semalam.
Katanya, nelayan tersebut seterusnya telah dibawa ke Pulau Jarak oleh bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Stesen Jarak TLDM untuk menerima rawatan awal.
“KD Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Patroli Terkoordinasi Malaysia-Indonesia Siri 166 Tahun 2024 (Op PATKOR MALINDO 166/24) telah ditugaskan untuk memindahkan mangsa dari Stesen Jarak ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani yang berada kira-kira 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
“Penyerahan nelayan-nelayan tersebut kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan pada pukul 12.40 tengah malam tadi. Op PATKOR MALINDO ini turut melibatkan penyertaan KD Laksamana Muhammad Amin dan KRI Bubara,” katanya hari ini. – UTUSAN