PETALING JAYA: Malaysia kini melihat potensi besar bagi mengeksport makanan halal ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini dapat dilihat menerusi kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau itu dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.
Justeru katanya, Malaysia dan UAE giat membincangkan kerjasama untuk meningkatkan keterjaminan makanan selain pelbagai bidang.
“Saya telah bertemu dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei untuk membincangkan isu keterjaminan makanan.
“Saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan. Ini secara tidak langsung membuka peluang besar untuk Malaysia meningkatkan eksport produk makanan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” katanya dalam Facebook, semalam.
Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid dan Suhail turut berbincang mengenai potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan, khususnya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah dimanfaatkan UAE dalam pengurusan pelabuhan.
Terknologi tersebut terbukti berjaya mengoptimumkan pengendalian kontena serta meningkatkan kecekapan logistik negara itu.
Selain itu Ahmad Zahid turut membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau, di mana UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur membabitkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara itu.
“Saya juga menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam teknologi data bagi memperkasakan fungsi dan data sekuriti di negara kita,” katanya.
Mengakhiri pertemuan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengambil kesempatan menjemput pihak UAE untuk menghadiri MIHAS@Dubai 2024 yang akan berlangsung di Dubai World Trade Centre bermula esok.
Program tersebut merupakan platform memperkenalkan produk Malaysia, selain mengundang negara itu menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), tahun depan.
“Saya juga menyatakan penghargaan atas sokongan UAE terhadap Malaysia sebagai negara rakan BRICS.
“Diharapkan hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai rakan strategik yang kukuh. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN