KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu semakin baik dengan jumlah mangsa hanya berbaki 29 orang daripada enam keluarga setakat pukul 8 pagi ini.
Kesemua mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Padang Kemunting, daerah Kemaman.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, cuaca yang semakin baik membolehkan tiga PPS ditutup secara berperingkat mulai lewat petang semalam.
“Tiga PPS yang sudah ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Balai Raya Beris Nenas dan Balai Raya Beris Meraga yang kesemuanya terletak di Kemaman,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiga sungai telah melepas paras amaran setakat pukul 8 pagi ini.
Sungai tersebut ialah Sungai Kemaman di stesen bacaan Jambatan Air Putih yang merekodkan bacaan 13.99 meter melebihi paras bahaya 13 meter.
Selain itu, Sungai Tumpat di stesen bacaan Kampung Baru Kemasik di Kemaman setinggi 2.44 meter (paras amaran 1.90 meter) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu pula merekodkan bacaan 12.08 meter (paras amaran 12 meter). – UTUSAN