PETALING JAYA: Sebarang tindakan lanjut berkaitan kes melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan seterusnya akan diputuskan oleh TPR setelah perbincangan dilakukan oleh SPRM bersama pihak terbabit.
Kata beliau, SPRM hanya bertanggungjawab menjalankan siasatan sebelum menyerahkan hasil diperoleh kepada TPR untuk tindakan lanjut.
“Kami akan membincangkan tindakan seterusnya dengan pihak TPR. Untuk itu, hanya TPR boleh memutuskan bagaimana sama ada meneruskan pendakwaan atau tidak.
“Kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya di sini.
Azam berkata, perkara tersebut kemungkinan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
“SPRM akan memberi kemas kini sebaik sahaja keputusan dibuat,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Tun Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor pada usia 86 tahun.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada pukul 8.21 pagi.
Kematian bekas Menteri Kewangan itu disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Allahyarham serta isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid. – UTUSAN