PETALING JAYA: Pengendali media sosial TikTok memberi jaminan untuk melihat semua ancaman seperti buli siber, penipuan dan fitnah yang didakwa berleluasa di media sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibangkitkan semasa beliau bertemu dengan delegasi TikTok yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew di Lima, Peru hari ini.
Menurut Anwar, Tiktok juga memberi jaminan untuk menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani isu itu.
“Saya juga menyentuh isu seperti buli siber, ancaman penipuan serta budaya fitnah yang berleluasa di Malaysia menerusi TikTok.
“TikTok memberi jaminan untuk melihat masalah ini dan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, SKMM serta BNM,” katanya dalam Facebook beliau.
Dalam pertemuan sama, Anwar membangkitkan beberapa perkara antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet bermula 1 Januari tahun depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, turut dibincangkan ialah kerjasama antara Kerajaan Madani dan TikTok di Malaysia.
Katanya, TikTok memberi perakuan melanjutkan pelaburan secara besar-besaran di negara ini.
“TikTok juga komited menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.
Anwar kini berada di Lima bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) APEC 2024.
Dalam persidangan itu, beliau dijangka menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua.- UTUSAN