GEORGE TOWN : Polis hari ini memberi jaminan bahawa siasatan kes dua beranak ditikam sehingga mati kelmarin akan dijalankan secara telus dan adil.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, ketika ini, keadaan suspek semakin stabil selepas dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Justeru, kita percaya bahawa siasatan kes ini tidak akan mengambil masa yang lama,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari, mangsa, Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, mati akibat ditikam oleh seorang suspek lelaki berhampiran lif di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, di sini.
Susulan kejadian itu juga, suami Siti Zulaila, Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 30-an mahu pelaku dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.
Dalam pada itu, Swee Sake memberitahu, hasil bedah siasat petang semalam terhadap jenazah dua beranak itu mendapati, mereka meninggal dunia akibat luka tikaman pada bahagian dada dan perut.
“Proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 6 petang semalam sebelum jenazah dua beranak itu dituntut oleh ahli keluarga mereka untuk dikebumikan malam tadi (di Tanjong Tokong),” jelas beliau.-UTUSAN