HULU TERENGGANU: Tiga sekeluarga sempat menyelamatkan diri apabila premis kedai makan disewa mereka terbakar dipercayai disambar petir di Kampung Bukit Kolam, Ajil, dekat sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi itu disedari mangsa, Ibrahim Muda, 56, yang terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi letupan di ruang depan kedai.
“Kebakaran itu mula berlaku di ruang hadapan premis bangunan milik Majlis Daerah Hulu Terengganu dan saya kemudian cuba mengalihkan tong gas memasak kerana bimbang ia meletup namun gagal kerana api marak dengan cepat.
“Ketika cuba keluar melalui ruang hadapan, saya turut terjatuh. Isteri dan anak selamatkan diri dengan keluar melalui pintu belakang premis.
“Saya hanya mampu menjerit minta tolong.Tidak sampai 10 minit, premis yang saya sewa sejak sembilan tahun lalu musnah dijilat api dan sewaktu kejadian hujan renyai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Tambah Ibrahim, dia menutup operasi kedai makan sekitar pukul 2 pagi dan kebakaran tersebut menyebabkan dia tidak sempat menyelamat barang-barang lain kecuali sebuah motosikal dan kereta.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Salleh Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 6.34 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota dari BBP Kuala Berang serta BBP Wakaf Tapai bergegas ke lokasi kejadian dan operasi tamat pukul 7.57 pagi.– UTUSAN