PETALING JAYA : Tiga daripada empat sekeluarga maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 2 Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) di sini hari ini.
Kemalangan yang berlaku pada pukul 7.20 pagi itu menyebabkan penunggang motorsikal berusia 37 tahun, isterinya,27, dan anak perempuan mereka berusia empat tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Manakala bayi lelaki mereka berusia setahun disahkan selamat dan menerima rawatan di Hospital Selayang dekat sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebelum kemalangan berlaku, terdapat sebuah lori yang membawa produk makanan basah itu berhenti kerana kerosakan ‘starter’.
Kata beliau, dalam masa sama terdapat sebuah lagi lori diparkir di belakangnya untuk melakukan proses memindah barangan daripada lori yang rosak.
“Motosikal dinaiki empat sekeluarga itu yang datang daripada arah belakang dikatakan bergerak memotong kenderaan lain namun gagal mengelak sebelum melanggar belakang lori yang sedang memunggah barangan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati, pemilik lori bersama pekerja telah meletak lima kon keselamatan.
“Saksi kejadian melihat motosikal dinaiki kesemua mangsa cuba memotong sebuah lori lalu hilang kawalan dan melanggar lori yang sedang parkir di jalan berkenaan,” jelasnya.
Tambah Rusdi, proses bedah siasat tiga beranak itu telah selesai pada pukul 2.30 petang tadi.
“Jenazah ketiga-tiga mangsa juga telah dituntut oleh pihak waris dan solat jenazah telah dilaksanakan selepas solat asar di Masjid Jamie Huda, Ampang dekat sini.
“Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana petang tadi,” katanya