Tiga penganggur tak mengaku rompak bersenjata

Tiga penganggur tak mengaku rompak bersenjata

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga orang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan melakukan rompakan bersenjata, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, N.Tamilselvan, 33; S.Krishnna, 24; dan Muhammad Hafizam Shahadan, 23, yang kesemuanya penganggur didakwa merompak seorang lelaki warganegara China, Zhad Wenzhuang di hadapan lorong Petron Jalan Maharajalela, Dang Wangi pada pukul 11 pagi, 11 November lalu.

Mereka didakwa merompak AirPod jenama Samsung dan Apple, sebuah telefon bimbit jenis Samsung dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 15 Pro dengan bersenjatakan pisau.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.

“Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara dalam memberi jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sehingga kes selesai,” kata Nadia.

Walau bagaimanapun, peguam bela, AP Chandra yang mewakili Tamilselvan dan Krishnna memohon satu ikat jamin paling rendah memandangkan jumlah yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi.

“Anak guam saya kedua-duanya tidak bekerja dan perlu menanggung ahli keluarganya. Saya mencadangkan jaminan diberikan sebanyak RM4,000 setiap seorang dan percaya tertuduh tidak akan melarikan diri kerana kesemuanya merupakan warganegara Malaysia,” katanya.

Seorang lagi tertuduh iaitu Muhammad Hafizam yang tidak diwakili peguam itu tidak membuat sebarang rayuan.

Hakim Elgusra Ali kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan serta dua syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada.

Mahkamah juga menetapkan 24 Disember ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya