Tiga murid sistem robotik untuk rumah tradisional Orang Asli

Tiga murid hasilkan sistem robotik untuk rumah tradisional Orang Asli

AHMAD Najmuddin (kanan) bersama Romzi (kiri) Mekrenik dan Siti Saleha menunjukkan model sistem robotik Dekatemiar yang dihasilkan oleh mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiga orang murid Orang Asli suku kaum Temiar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di sini mencipta sejarah tersendiri apabila mereka menghasilkan sistem robotik dalam rumah tradisional Orang Asli.

Projek pembukaan pintu, lampu, tempat menyidai pakaian dan kawasan siraman pokok itu dilaksanakan oleh Romzi Anjang dan Siti Saleha Masri masing-masing berusia 12 tahun dan Mekrenik Rabu, 11.

Guru pembimbing dalam projek itu, Ahmad Najmuddin Jaafar berkata, idea projek yang diberi nama Dekatemiar itu tercipta selepas tiga muridnya melihat kesusahan hidup ibu bapa Orang Asli yang masih hidup secara tradisional.

“Dekatemiar itu membawa maksud Rumah Temiar iaitu suku kaum Orang Asli di sini. Di dalam rumah itu kami masukkan satu sistem robotik untuk membuka pintu, menyalakan lampu dalam rumah dan menyiram tanaman di sekitar rumah.

 

“Rumah yang dibina terdiri daripada bahan semula jadi dan modelnya adalah rumah tradisi Orang Asli yang atapnya diperbuat daripada daun nipah manakala bahagian dinding pula dinamakan anyaman klara,” katanya.

Ahmad Najmuddin memberitahu, pihaknya sudah menerima surat jemputan daripada International Robot Olympiad Committee untuk menyertai pertandingan International Robot Olympiad di Busan, Korea Selatan bermula 17 Februari hingga 21 Februari tahun depan.

Katanya, persiapan sedang giat dilakukan untuk memperkemaskan lagi model rumah robotik itu bagi membawa ke peringkat antarabangsa.

“Kejayaan yang dirangkul murid-murid itu antaranya meraih naib juara robotik di Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Pribumi Kebangsaan dan tempat ketiga RBTX Challenge 2024 Kebangsaan kategori Indigenous Culture and Technology anjuran Petrosains.

“Terbaharu, murid di sekolah kami akan mewakili negara ke International Robot Olympiad 2024/2025 yang berlangsung pada 16 hingga 21 Januari 2025 untuk kategori Innovation,” katanya.

Tambahnya, pihak sekolah juga sedang berusaha bagi mendapatkan sumbangan sebagai persediaan untuk kami ke Korea Selatan pada tahun depan.

“Pihak kami berharap ada pihak atau badan bukan kerajaan dapat membantu menyalurkan sumbangan untuk persiapan dan perbelanjaan murid Orang Asli.

“Kami yakin tiga murid ini akan mencipta kejayaan dan berjaya mengharumkan nama sekolah serta keluarga murid Orang Asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN