KEMAMAN: Tiga daripada empat deretan kedai di kawasan Perindustrian Jakar, Chukai, dekat sini, hangus dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.
Kejadian kira-kira 10.55 malam itu melibatkan dua buah kedai bengkel membaiki kenderaan dan menjual peralatan kenderaan terpakai serta sebuah kedai menjual peralatan pertukangan yang terbakar hampir 90 peratus.
Sebuah lagi, kedai bengkel membaiki kenderaan mengalami kebakaran kecil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chuka,i Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.06 malam, sebelum 39 anggota bomba dari Balai Bomba Chukai, Kemaman, dan Kijal bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, api sedang marak dan pihak bomba terpaksa memecahkan pintu kedai bengkel untuk memadamkan kebakaran bagi mengelak api terus merebak.
“Kebakaran dikatakan bermula dari sebuah bengkel membaiki kenderaan sebelum merebak ke premis bersebelahan,” katanya.
Zailani berkata, tekanan air rendah di kawasan itu menyukarkan operasi pemadaman selain terdapat bahan mudah terbakar dalam premis terlibat.
“Bagaimanapun, kita berjaya mengawal api dalam tempoh satu jam dan operasi pemadaman ditamatkan kira-kira pukul 3.40 pagi tadi,” katanya memberitahu, punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN