Tiga kedai musnah terbakar - Utusan Malaysia

Tiga kedai musnah terbakar

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tiga daripada empat deretan kedai di kawasan Perindustrian Jakar, Chukai, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga daripada empat deretan kedai di kawasan Perindustrian Jakar, Chukai, dekat sini, hangus dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.

Kejadian kira-kira 10.55 malam itu melibatkan dua buah kedai bengkel membaiki kenderaan dan menjual peralatan kenderaan terpakai serta sebuah kedai menjual peralatan pertukangan yang terbakar hampir 90 peratus.

Sebuah lagi, kedai bengkel membaiki kenderaan mengalami kebakaran kecil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 11.06 malam, sebelum 39 anggota bomba daripada Balai Bomba Chukai, Kemaman, dan Kijal bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, api sedang marak di deretan kedai itu. Kita berusaha memadamkan kebakaran dan pihak bomba terpaksa memecahkan pintu kedai bengkel untuk memadamkan kebakaran bagi mengelak api terus merebak.

“Kebakaran dikatakan bermula dari sebuah bengkel membaiki kenderaan sebelum merebak ke premis lain yang bersebelahan,” katanya.

Zailani berkata, tekanan air rendah di kawasan itu menyukarkan operasi pemadaman.

“Operasi pemadaman juga dilakukan dengan berhati-hati berikutan terdapat bahan mudah terbakar dalam premis yang terlibat.

“Bagaimanapun, kita berjaya mengawal api dalam tempoh satu jam dan operasi pemadaman ditamatkan kira-kira pukul 3.40 pagi tadi,” katanya.

Zailani berkata, punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian mangsa masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya