Tiga individu termasuk suami isteri didakwa edar syabu 51.97kg - Utusan Malaysia

Tiga individu termasuk suami isteri didakwa edar syabu 51.97kg

TIGA individu termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 51.97 kilogram. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri berhadapan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51.97 kilogram (kg), minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Amirul Samsudin, 27, dan isteri, Zaharah Farhana Zamri, 26, serta rakan mereka, Muhammad Firdaus Nazeri, 25, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret G. Phulrani Kaur.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51,974 gram di lot tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Slim Perdana, Slim River pada pukul 3.35 petang, 11 November 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Ketiga-tiga tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Menerusi laporan media pada 14 November lalu, seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ dengan menerima upah sebanyak RM2,000 bagi kerja-kerja menyeludup dadah ditahan bersama isteri dan rakannya pada 11 November lalu.

Dalam tangkapan itu, polis merampas 50 bungkus plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 51.97kg bernilai RM2 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya