TANAH MERAH: Seorang lelaki warga emas tidak menyedari dia tinggal bersama mayat anak lelakinya yang sudah meninggal dunia lima hari di rumah mereka di Taman Selasih, di sini sebelum disedari jiran.
Anak lelakinya yang berusia 53 tahun disedari meninggal dunia pukul 11.50 pagi kelmarin selepas jiran menghidu bau busuk dari rumah yang menjadi tempat tinggal dua beranak itu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, polis terpaksa memecahkan pintu rumah itu kerana bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 90-an tidak boleh membuka pintu.
“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut mendapati, mangsa sudah meninggal dunia di dalam sebuah bilik di tingkat atas.
“Siasatan di dalam rumah itu tidak menjumpai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan jenayah,” katanya semalam.
Mohd. Haki memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tanah Merah di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN