PORT DICKSON: Walaupun pernah gagal dalam percubaan pertamanya untuk bergelar Pegawai Imigresen tujuh tahun lalu, ia tidak mematahkan semangat anak muda dari Papar, Sabah iaitu Mohd. Nazmi Nor Sham, 25, untuk mencapai cita-citanya itu.
Hasilnya, anak kedua daripada tiga adik beradik itu kini bergelar Pegawai Imigresen malah lebih manis muncul sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Imigresen Malaysia.
“Bapa saya seorang anggota polis, bapa saudara pula seorang tentera jadi saya membesar dalam kalangan ahli keluarga yang menggotai pasukan beruniform. Minat dan semangat ini sudah wujud dalam diri sejak kecil.
“Saya pula memilih Jabatan Imigresen Malaysia kerana suka uniformnya yang berwarna hitam. Pertama kali saya pernah memohon untuk menyertai jabatan ini semasa berumur 18 tahun namun gagal di peringkat ujian psikometrik. Alhamdulillah percubaan kali kedua membuahkan hasil.
“Saya lihat sebagai seorang Pegawai Imigresen, ia dekat dengan bidang yang saya ambil semasa di universiti iaitu Diploma Pengurusan Pelancongan. Saya dapat tingkatkan kemahiran hospitaliti saya di sini apatah lagi JIM ini juga seperti ‘wajah’ pertama yang perlu ditemui pelancong di pintu masuk negara,” katanya ketika ditemui semalam.
Majlis perbarisan tamat latihan itu disempurnakan Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban. – UTUSAN