PETALING JAYA: Sebarang tuduhan yang bertentangan serta cubaan memutarbelitkan kejayaan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, setiap lawatan menunjukkan impak nyata termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
Beliau mengambil contoh antaranya, kejayaan perdagangan dan pelaburan yang meningkat 21.4 peratus atau bersamaan RM3 bilion dan pelancaran kilang pemasangan Proton di Giza dijangka menjana pendapatan RM570 juta dalam tiga tahun serta tambahan pendapatan sebanyak RM20 juta melalui jualan.
“Selain itu, pelaburan luar pesisir Petronas bernilai AS$6 bilion (RM26.8 bilion) dan projek FPSO oleh Yinson Holding bernilai AS$5 bilion (RM22.3 bilion) serta eksplorasi tenaga solar oleh TNB.
“Di sebalik kejayaan signifikan yang dicapai, terdapat pihak yang terus iri hati dan menabur tuduhan dangkal kononnya lawatan ini tidak membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara.
“Hakikatnya, pelbagai pencapaian penting telah diperoleh termasuk memacu ekonomi negara, memperkukuh hubungan antarabangsa, dan meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh komitmen solidari global dan keadilan sejagat, Ahmad Fauzi berkata, Perdana Menteri amat tegas mempertahankan hak Palestin di Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh dan menyeru sekatan senjata terhadap Israel.
Malah katanya, Anwar turut menuntut reformasi peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seharusnya bersifat lebih inklusif buat negara anggota lain serta menyingkirkan Israel daripada organisasi tersebut.
“Lawatan ini menunjukkan impak nyata, termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
“Ia juga petunjuk jelas Perdana Menteri bukan sekadar figura simbolik, sebaliknya pemimpin yang memacu negara menuju kemajuan di bawah agenda Madani.
“Justeru, sebarang tuduhan yang bertentangan serta cubaan memutarbelitkan kejayaan lawatan ini adalah tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN