KUALA LUMPUR : Pelakon, Nabila Huda, 39, menegur mana-mana pelakon baharu supaya tidak memberi sebarang kenyataan yang boleh memberi impak negatif terhadap industri seni tanah air terutama berkaitan isu buli.
Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 39, berkata, tindakan tersebut seolah-olah memberi gambaran negatif kepada anak-anak seni lain apalagi isu buli yang diluahkan seperti tidak berasas.
Bagi Nabila, keadaan ini lebih menyedihkan kerana setiap anak seni terutama yang bergelar pelakon telah berusaha keras untuk menempa nama dalam industri.
“Jangan bawa perkara negatif yang berlaku di set keluar, selalunya di set okey sahaja. Jangan keluarkan kenyataan yang boleh orang luar pandang tidak baik tentang industri kita.
“Setiap pelakon bersungguh-sungguh untuk bina nama, semua sayang dengan kerjaya mereka. Jangan disebabkan kenyataan anda itu buat orang pandang buruk dengan kami (pelakon).
“Berhenti buka pekung sendiri kepada orang luar, jangan biar orang pandang buruk pada kita,”katanya.
Nabila berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di set penggambaran filem Gayong yang diadakan di TUDM, Sungai Besi, hari ini.
Selain itu, Nabila berkata, dia langsung tidak terkesan dengan kenyataan yang dibuat seorang aktor yang mendakwa berlaku isu buli oleh pelakon senior terhadap pelakon baharu di set penggambaran.
Malah, tanpa berselindung, Nabila menasihatkan agar mana-mana pendatang baharu yang tidak bersedia menjadi pelakon lebih baik mencari kerjaya lain.
“Saya tidak terkilan kerana saya tidak baca pasal itu dan kenyataan yang dibuat itu sampah. Benda personal tidak patut dikeluarkan.
“Isu buli tidak berlaku pun di set. Selalunya kami semua gembira sahaja. Mungkin orang itu yang saya rasa tidak bersedia untuk jadi pelakon. Lebih baik anda cari kerjaya lain, pergi jadi pempengaruh.
“Mungkin anda tidak sesuai bekerja dengan abang dan kakak di set penggambaran kerana pemikiran anda berbeza dengan kami. Mentaliti anda bukan mentaliti orang seni,”katanya.
Tidak cuma itu, Nabila berkata, pelakon zaman kini juga terlalu manja.
“Saya rasa budak zaman sekarang terlalu manja, tidak kuat menghadapi cabaran dan kesusahan. Ujian yang mereka kena perlu hadap juga, perlu jadi kuat.
“Saya pernah lalui situasi dimaki oleh pengarah. Maki pun dimaki yang biasa, sampai kena carut. Kalau budak sekarang kena, silap-silap pengarah itu sudah masuk penjara.
“Apa yang berlaku di set penggambaran adalah pengalaman untuk setiap pelakon. Tanpa pengalaman itu mereka tidak berada di satu tempat yang lebih baik.
“Anggap pengarah atau krew di lokasi sebagai ibu bapa kita marah kita. Mereka marah untuk naikkan semangat kita sebagai seorang manusia,”katanya.-UTUSAN