KUALA LUMPUR: Tiada tolak ansur dalam budaya buli di universiti dan pusat pendidikan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri memberi peringatan itu dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.
Dalam program itu, Anwar berkata, beliau memberi amaran tegas itu terhadap amalan buli yang berlaku sama ada di pusat pendidikan tinggi atau sekolah.
Katanya, amalan seumpama itu tidak boleh berlaku di pusat ilmu apatah lagi menganggap sebagai satu budaya biasa.
Sebelum ini, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.
Individu itu difahamkan didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.
Kejadian itu terbongkar apabila jurulatih yang melakukan pemeriksaan menyedari terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa. – UTUSAN