Tiada syarat baharu warga emas perbaharui lesen memandu - JPJ

Tiada syarat baharu warga emas perbaharui lesen memandu – JPJ

AEDY Fadly Ramli (tengah) bermesra dengan peserta program MyLesen bagi kategori motosikal yang berjaya mendapat lesen B2 pada Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Peringkat Negeri Perak 2024 di Kompleks SKOMK, Teluk Intan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menetapkan syarat-syarat baharu bagi pemandu warga emas khususnya yang telah berumur 65 tahun ke atas untuk mendapat dan memperbaharui lesen kenderaan.

Malah, setakat ini warga emas dibenarkan memandu kenderaan seperti biasa tanpa sebarang kekangan selain wajib mengikuti penilaian kompetensi dan kesihatan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya masih membenarkan warga emas mendapatkan dan memperbaharui lesen sehingga hari ini.

“Kita tidak menghadkan lesen itu atau perlu sesuatu syarat untuk warga emas mendapat lesen atau memperbaharui lesen bagi memandu kenderaan.

“Itu peringkat dasar Kementerian Pengangkutan dan memang dalam penelitian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Peringkat Negeri Perak 2024 di Kompleks SKOMK di sini hari ini.

Program MyLesen di negeri ini melibatkan 2,595 peserta golongan B40 terdiri daripada lesen kelas B2 (2,500 peserta) lesen vokasional kenderaan barang, GDL-lori (40 peserta), lesen vokasional kenderaan perkhidmatan awam (PSV) bas (30 peserta) dan e-hailing seramai 25 peserta.

Katanya lagi, pihaknya akan meneliti perkara pada itu pada masa depan bersama Kementerian Pengangkutan sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu kenderaan warga emas.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu golongan tersebut diperkenalkan.

Antara syarat yang boleh diusulkan adalah, warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.

Syarat ini juga dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan tidak melarang warga emas memandu, malah mengenakan syarat-syarat tambahan untuk memperbaharui lesen mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya