KUALA LUMPUR: Polis tidak mempunyai sebarang maklumat keberadaan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa kini bersembunyi di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak berkuasa negara berkenaan juga setakat ini tidak memberi sebarang makluman mengenai keberadaan Jho Low di sana.
Kata beliau, sebarang maklumat sudah pasti negara terlibat akan memaklumkan dan berkongsi kepada pihak polis memandangkan mereka juga berada dalam Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL).
“Apa sahaja maklumat kita (polis) ada , kita akan beri dan bantu Myanmar. Begitu juga mereka yang akan bantu apa juga yang kita minta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 6 bagi Inspektor, Sarjan dan Konstabel Pelatih di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, polis juga menjalin kerjasama dengan pasukan polis di beberapa buah negara ASEAN dan Polis Antarabangsa (Interpol).
“Baru-baru ini juga, saya ada menyertai Perhimpunan Agung Interpol ke-92 di United Kingdom (UK) selama seminggu yang turut disertai rakan sejawatan dari negara-negara lain.
“Sudah pasti di situ, apa-apa maklumat yang kita ada akan dikongsi,” jelasnya.
Pada 19 November lalu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa beliau percaya ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho (Jho Low) kini bersembunyi di Myanmar yang bergolak.
Muhammad Shafee, peguam utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan perkara itu pada forum bertajuk ‘Media Townhall: Getting the Facts Right-The Untold Stories of 1MDB & Other Cases’ hari ini.
Beliau menyimpulkan perkara itu berdasar soal balasnya terhadap bekas penasihat undang-undang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, yang pernah dianggap sebagai proksi Jho Low.
Jasmine yang menghilangkan diri pada 2018 sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa tahun lalu, menjadi saksi penting dalam perbicaraan rasuah Najib membabitkan penyalahgunaan dana 1MDB bernilai berbilion ringgit.
Dakwa Muhammad Shafee, daripada keterangan Loo yang disoal siasat, dia merasa dia Jho Low berada di Myanmar dan dilindungi oleh jeneral-jeneral di sana.
Ini kerana Low mampu mendapatkan pasport untuk Loo dan membolehkannya masuk ke Myanmar tanpa menggunakan pasport Malaysia. – UTUSAN