Tiada majikan terkecuali laksana gaji minimum tahun depan

Tiada majikan terkecuali laksana gaji minimum tahun depan

ABDUL Rahman Mohamad tengah melihat Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang disumbangkan ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim sempena Karnival Kerjaya MyFutureJobs PERKESO Oghe Kelate 2024 di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Semua majikan di negara ini tidak akan diberi kelonggaran atau pengecualian untuk tidak melaksanakan gaji minimum kepada pekerja bermula Februari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, akta gaji minimum sudah ditetapkan dan kerajaan tidak akan berkompromi dengan majikan yang memberi alasan tidak mampu.

“Kita sudah tetapkan (gaji minimum), kita akan kuat kuasa pada Februari 2025. Buat masa ini, kalau ada yang membuat laporan, kita tidak boleh ambil tindakan kerana ia belum dilaksanakan lagi.

“Kelonggaran atau pengecualian itu tidak lagi diberikan pada Februari depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Oghe Kelate 2024 di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, majikan di tiga negeri tidak bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,700 kerana pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang belum kukuh untuk menampung kenaikan sebanyak RM200.

Majikan termasuk peniaga di Perlis dan Kelantan dijangka terkesan dengan pelaksanaannya berikutan saiz negeri yang kecil dan kos sara hidup rendah manakala di Sabah ekoran masalah kos bahan mentah yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pekerja-pekerja ekonomi gig akan dibentangkan buat kali pertama di Parlimen pada Disember ini.

Menurutnya, akta itu sudah di peringkat draf takhir untuk pembentangan.

“Akta itu penting untuk menjaga kebajikan pekerja gig yang bekerja sendiri dan tanpa majikan. Draf akta ini hampir semua selesai. Ia akan dibaca pada Disember ini.

“Selepas bacaan kali kedua berkemungkinan pada Mac depan, baru boleh jadikan akta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya