ALOR SETAR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong kemasukan Hyundai Motor di Kedah membuktikan tiada komplot untuk mensabotaj pelaburan swasta di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong berkata, Perdana Menteri sendiri memaklumkan beliau menyokong pelaburan syarikat permotoran gergasi Korea Selatan itu untuk membantu negeri ini.
“Perdana Menteri melakukan tugas beliau sebagai ejen Kedah dan tiada sabotaj dilakukan mana-mana pihak terhadap kerajaan negeri. Jadi, tiada isu (plot) tentang dakwaan (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor) itu.
“Jikalau, ada (usaha sabotaj), bukti yang disimpan dalam hati (Menteri Besar) itu kena maklumkan kepada orang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang DUN Kedah yang juga ADUN Sidam, Bau Wong Bau Ek berkata, Muhammad Sanusi harus mendedahkan secara terperinci komplot itu bagi membuktikan dakwaannya benar.
Akhbar ini kelmarin melaporkan Muhammad Sanusi dalam sesi perbahasan Sidang DUN itu mendakwa terdapat agenda untuk menggagalkan pelaburan syarikat swasta di negeri ini.
Beliau mendakwa, syarikat berkenaan berhadapan dengan pelbagai tekanan dan sekatan sehingga mereka menarik diri daripada projek yang sudah diumumkan sebelum ini.
Perdana Menteri semalam memberi reaksi dengan menegaskan bahawa beliau menyokong pelaburan Hyundai Motor ke Kedah walaupun mereka mempunyai pilihan di lokasi lain. – UTUSAN