Tiada kenaikan harga di restoran mamak - Armizan

Tiada kenaikan harga di restoran mamak – Armizan

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali beramah mesra bersama mahasiswa pada Majlis Penutup Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di UTM Hotel & Residences. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tiada sebarang kenaikan harga akan dilakukan oleh pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor memberikan komitmen untuk tidak menaikkan harga makanan di restoran-restoran mereka sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, satu perjumpaan diadakan bersama wakil persatuan itu pada 14 November lepas menunjukkan reaksi positif selepas mereka bersetuju untuk tidak menaikkan harga.

“Sebaik saja mereka membuat pengumuman itu, kita mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk memanggil mereka memberikan penjelasan.

“Saya ingin ulang sekali lagi supaya berhati-hati dengan sebarang kenyataan kerana kita tidak mahu dianggap bahawa ada pihak yang mengambil kesempatan susulan daripada pengumuman kerajaan untuk menaikkan gaji minimum, menaikkan gaji penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Penutupan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat dan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun hadapan dijangka melonjakkan lagi kos perbelanjaan.

Sehubungan itu, timbul kegusaran dalam kalangan masyarakat jika pengusaha restoran mamak menaikkan harga makanan di premis mereka bermula dengan lima peratus, mulai tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebarang kenaikan harga perlulah melibatkan kos langsung dan tidak boleh sewenang-wenang membuat pengumuman berkenaan kenaikan harga.

Beliau menambah sekiranya terdapat kenaikan harga, kementerian itu akan memanggil pihak berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kos-kos langsung yang menyebabkan pihak itu menaikkan harga.

“Kita faham dalam kes itu mungkin ada keperluan untuk menaikkan harga, tetapi ia mesti ada justifikasi yang menyeluruh.

“Bersandarkan kepada elemen-elemen yang telah dinyatakan dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, tidak boleh ada elemen mengambil untung berlebihan, mencatut, itu yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya