TELUK INTAN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai himpunan yang akan diadakan di Menara Condong pada Sabtu ini, kerana perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tempat berhimpun.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, sebagai pemilik premis tersebut, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) tidak memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan di lokasi itu atas faktor ketidaksesuaian tempat berhimpun.
“Pada Isnin (kelmarin), pihak polis menerima permohonan penganjur untuk mengadakan perhimpunan aman dan kebenaran mengadakan program mengibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong pada Sabtu ini bermula pukul 5 petang hingga 7 malam.
“Oleh itu, kita telah menampal notis pemberitahuan berhubung program tersebut di kawasan Menara Condong bagi mendapatkan pandangan orang ramai.
“Hasil pemakluman notis tersebut, kita telah menerima maklum balas daripada MPTI sebagai pemunya Dataran Menara Condong yang tidak memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu ,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kegagalan penganjur mengemukakan persetujuan pemilik tempat berhimpun seperti mana di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 menyebabkan permohonan mereka tidak dapat diproses untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah Subseksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kita mohon kerjasama semua pihak untuk menghormati undang-undang dan menjaga ketenteraman awam demi keselamatan dan keamanan masyarakat di kawasan Teluk Intan,” ujar beliau.
Pada 26 Oktober lalu, lebih 300 individu dilaporkan membanjiri Dataran Menara Condong di sini sambil mengibarkan Jalur Gemilang, susulan insiden bendera negara China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi sama.
Bagaimanapun, perhimpunan yang turut disertai Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah itu tidak dimaklumkan kepada pihak polis.
Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. – UTUSAN