Tiada bukti Pantai Esen tercemar disebabkan penambakan pulau Silikon

Tiada bukti Pantai Esen tercemar disebabkan penambakan pulau Silikon

ZAIRIL Khir Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tiada bukti pencemaran Pantai Esen di Permatang Damar Laut di sini disebabkan kerja-kerja penambakan Pulau Silikon.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, ini kerana, kerja-kerja penambakan mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang diluluskan. 

Malah, beliau berkata, langkah-langkah yang ketat juga diambil seperti penggunaan langsir kelodak dua lapis untuk kerja-kerja berkenaan.

“Jadi, laporan media mengenai kenyataan rakan Exco saya (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sunderajoo) mengenai perkara itu sebelum ini tidak sepenuhnya tepat. 

“Seperti yang Sundarajoo sendiri nyatakan, siasatan termasuk ujian makmal oleh agensi berkaitan sedang dijalankan. Jadi, masih tiada bukti yang menunjukkan bahawa punca pencemaran disebabkan oleh kerja-kerja penambakan Pulau Silikon,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri tidak akan ‘lepas tangan’ dalam isu berkaitan Pantai Esen yang didakwa dicemari dengan lumpur selut serta berkeladak sejak lebih dua bulan lalu.

Sunderajoo berkata, isu selut itu berlaku mungkin disebabkan ombak tidak dapat sampai ke kawasan pantai disebabkan kerja-kerja penambakan dan mungkin pihak pemaju akan membina terusan atau laluan bagi memastikan ombak dapat sampai ke pantai.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, kawasan Pantai Esen sememangnya dipenuhi lumpur semula jadi dan kejadian lumpur atau selut hitam baru-baru ini juga terjadi disebabkan faktor peningkatan alga atau ‘algae bloom’. 

“Seperti yang semua maklum, alga bukan sesuatu yang terhasil daripada kerja-kerja penambakan. Pokok soalan yang lebih penting adalah bagaimana peningkatan alga ini boleh terjadi?

“Antara kemungkinan yang dikenal pasti ialah terdapat efluen dari hulu sungai berhampiran yang mengalir ke laut. Di kawasan sekitar juga terdapat beberapa aktiviti pertanian dan sebuah loji rawatan kumbahan,” katanya.

Kata Zairil, pada masa sama, hasil tinjauan mendapati, tiada alga yang terlekat atau membiak dalam kawasan langsir kelodak dan ini menunjukkan bahawa sumbernya bukan dari tapak projek tambakan Pulau Silikon.

“Kita masih menunggu keputusan akhir ujian makmal yang akan disahkan oleh agensi teknikal terbabit. Oleh itu, saya mohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya