KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bertegas untuk meneruskan kes gagal mengisytiharkan 71 aset yang dikenakan terhadap suaminya itu.
Na’mah Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya agar memaklumkan perkara itu pada sebutan kes terbabit di Mahkamah Sesyen di sini, esok.
Katanya, Daim sendiri menantikan peluangnya untuk tampil di mahkamah dan membuktikan dirinya tidak bersalah.
“Saya bagi pihak Allahyarham, ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat beliau supaya perbicaraan terhadapnya diteruskan di mahkamah sehingga tamat, walau apapun terjadi kepadanya. Daim mendambakan harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah.
“Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim. Malah kami tidak mahu memohonnya,” katanya.
Na’imah juga menyatakan tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk berselindung di sebalik kematian suaminya atas `fitnah’ yang dilemparkan kepada Daim dan pembebasan oleh Mahkamah akan membuktikan kebenarannya.
Pada 13 November lalu, Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar dalam satu kenyataan menyatakan akan membuat keputusan berhubung status kes Daim atau nama penuhnya Che Abdul Daim Zainuddin selepas mendapat salinan sijil kematian veteran politik itu.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang juga mengetuai pasukan pendakwaan kes Daim turut dilaporkan akan mendapatkan arahan lanjut berhubung kes berkenaan daripada Peguam Negara.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Daim meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat strok di Hospital Assunta, Petaling Jaya dekat sini.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 71 asetnya seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).
Aset-aset tersebut merangkumi satu bank akaun, tujuh buah kenderaan, 38 buah syarikat dan 25 hartanah atau tanah di bawah syarikat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Daim pada 13 Disember 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya dan beliau dituduh mengikut Seksyen 36(1)(a) ASPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Antara harta-harta yang didakwa gagal diisytihar ialah akaun bank Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), tujuh kenderaan mewah iaitu sebuah kereta jenama Rolls Royce Royce 2 Axle Rigid Body, tiga Mercedes Benz dan masing-masing sebuah kereta jenama Jaguar XJS HE, Austin Morris Austin dan Ford Prefect.
Selain itu, terdapat 38 syarikat yang tidak diisytiharkan iaitu Ibu Kota Developments Sdn. Bhd., Maya Seni Holdings Sdn. Bhd., Menara Ampang Sdn. Bhd., Dream Cruiser Sdn. Bhd., Landbelt Corporation Sdn. Bhd., Kenari Teliti Sdn. Bhd., Fnq Advanced Materials Sdn. Bhd., Kota Tandop Development Sendirian Berhad, Alun-Alun Resort (M) Sdn. Bhd. dan Dasar Seroja Sdn. Bhd..
Syarikat lain ialah Gigantic Promotions Sdn. Bhd., Jupiter Alliance Sdn. Bhd., Inayat Realty Sdn. Bhd., Suasa Urus Sdn. Bhd., Avillion Berhad, Meridian Haven Sdn. Bhd., Avillion Vista Hotel Sdn. Bhd., Vast Access Sdn. Bhd., Fortune Valley Sdn. Bhd., Reliance E-Com Sdn. Bhd., Admiral Marina Berhad, Golden Envoy (M) Sdn. Bhd., Mela Lifestyle Sdn. Bhd., AVI SPA Sdn. Bhd. dan Avillion Hotel Group Sdn. Bhd..
RPB Capital Holdings Sdn. Bhd., Genius Field Sdn. Bhd., Festive Place Sdn. Bhd., Avillion Suite Hotel (PD) Sdn. Bhd., Taman Unik Sdn. Bhd., Admiral Cove Development Sdn. Bhd., Nesline Sdn. Bhd., RPB Development Sdn. Bhd., OS Resources Sdn. Bhd., Avillion Hotel (Kl) Sdn. Bhd., Avillion Hotels International Sdn. Bhd., Admiral Hill Hotel Sdn. Bhd. dan Reliance Shipping & Travel Agencies (Perak) Sdn Berhad, turut tidak diisytiharkan.
Harta lain membabitkan 25 hartanah antaranya beberapa unit kondominium, rumah dan hotel melibatkan 18 di Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing tiga di Pahang dan Negeri Sembilan serta satu hartanah di Kedah. – UTUSAN