MARAN: Kerinduan seorang ibu terubat apabila anak kesayangannya yang menghilangkan diri sejak 9 November lalu kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Paya Chedung di sini.
Saharah Mazlan, 39, berkata, anaknya, Ummul Ayuni Atiqah Mohd. Khamis, 15, melarikan diri dari rumah kerana perselisihan kecil dalam keluarga pulang ke rumah kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Anaknya ditemukan polis di Seremban, Negeri Sembilan dibawa pulang ke Pahang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran kira-kira pukul 3 pagi Khamis lalu dan sebelum dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga sekitar 7 pagi.
“Saya lega dan bersyukur kerana anak ketiga dari enam beradik itu selamat. Semangat saya juga pulih dan bertekad membuka buku baharu menjalani kehidupan dengan menjadikan peristiwa ini sebagai panduan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Saharah menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak polis dan semua pihak terlibat membantu dalam proses pencarian anaknya.
Gembira anaknya kesayangan kembali ke pangkuan keluarga, Saharah dan suami membawa Ummul Ayuni Atiqah keluar ke bandar Maran sebagai tanda kesyukuran dan mengembalikan ikatan kasih sayang antara mereka.
8 November lalu, Ummul Ayuni Atiqah dilaporkan melarikan diri dari rumah di Kampung Paya Chedung, selepas pergaduhan kecil adik beradik kira-kira pukul 2.15 petang.
Difahamkan, akibat pergaduhan kecil dengan kakak yang memintanya membuang sampah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran itu, terasa hati dan merajuk lalu membawa diri. -UTUSAN