PAPAR: Barisan Nasional (BN) Sabah kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerjasama antara BN dan GRS tidak akan berlaku dan beliau secara peribadi memang menolak kerjasama tersebut.
“Kita memang menolak kerjasama ini..tidak akan adalah (kerjasama). Biarpun kemungkinan itu memang ada tapi, kalau tanya saya, saya tidak akan melakukannya.
“Terlalu perit kalau bersama-sama dengan orang yang telah sembelih kita. Kita nak layan berat, nanti kita tidur-ditidur disembelih lagi kita,” katanya selepas Program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan Pantai Manis, di Dewan Datuk Saleh Sulong, semalam.
Walaupun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan ada kemungkinan BN kerjasama dengan GRS namun, kemungkinan itu mungkin tidak akan berlaku.
Mengulas lanjut katanya, UMNO/BN akan berusaha untuk mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang yang dipinjamkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa mereka bekerjasama dengan BN pada PRN yang lalu.
Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, sebenarnya kerusi DUN Kawang memang milik UMNO sebelum ini tapi atas dasar kerjasama untuk menentang Parti Warisan ketika itu maka, kerusi itu dipinjamkan kepada Bersatu.
Namun, dalam senario politik semasa yang sudah berubah, kerusi yang dipinjamkan dahulu perlulah dikembalikan. Kalau tidak dikembalikan terpaksa minta rakyat untuk memutuskan.
Kata beliau, rakyat di kawasan Parlimen Papar yang melibatkan DUN Kawang dan Pantai Manis perlu bersatu menolak kerajaan yang gagal membawa kestabilan dan pembangunan di negeri ini pada PRN17
Menurutnya, sambutan yang diterima sepanjang siri jelajah Program Gerak17 itu perlu diiringi dengan strategi dan pendekatan yang efisien untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjadikan BN sebagai pilihan utama pada PRN akan datang. – UTUSAN