PUTRAJAYA: “Terima kasih kerajaan kerana memberi peluang kepada saya menerajui Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Itu reaksi ringkas Ahmad Terrirudin ketika ditemui pada sesi merakam waktu keluar (clock-out) di lobi bangunan AGC di sini, petang tadi.
Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun.
Beliau yang ditemui berkata, selepas ini beliau akan berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Esok saya angkat sumpah (Hakim Mahkamah Persekutuan). Okay Putrajaya thank you very much. (Terima kasih semua),” katanya.
Terdahulu, warga AGC berhimpun di lobi bangunan AGC bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Ahmad Terrirudin.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu, berkuat kuasa esok. – UTUSAN