KUALA TERENGGANU : Kerajaan Terengganu akan terus agresif dan aktif berusaha untuk meningkatkan hasil melalui pelbagai strategi yang diatur Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri (PKN), telah membuat banyak perancangan dengan pelbagai entiti termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Usaha bagi tempoh jangka masa pendek dan sederhana ini sebahagiannya telah saya jelaskan dalam pembentangan Belanjawan 2025 negeri Terengganu (pada Isnin lalu).
“Untuk tempoh jangka masa panjang pula, kerajaan negeri akan memperoleh hasil, daripada pemajuan perindustrian menerusi pembaharuan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien, serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di hari ini.
Antara projek dirancang untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri ialah
pembangunan ladang solar baharu; penjanaan dan perdagangan karbon kredit serta pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG).
Tambahnya, pembangunan loji hidrogen hijau dan perlombongan unsur nadir bumi, termasuklah merangka strategi untuk memperolehi hasil menerusi aktiviti Carbon Capture Utilization and Storage (CCUS) juga adalah antara inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan bagi jangka masa panjang.
“Insya-Allah, kita berharap segala perancangan yang dilakukan bagi tahun 2025 ini, akan berjalan dengan lancar seterusnya mampu menjadi pemangkin dan asas untuk mencapai lima sasaran yang telah saya gariskan menjelang tahun 2030.
“Segala perancangan ini tidak mampu kita capai, sekiranya minda dan cara kerja kita, tidak melalui proses revolusi menyeluruh yang memerlukan supaya kita lebih pantas,” katanya. – UTUSAN