KUALA TERENGGANU: Terengganu akan melaksanakan hukuman sebatan terhadap pesalah jenayah takzir di khalayak ramai di negeri itu untuk memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, lokasi pelaksanaan hukuman sebatan itu akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah.
Menurutnya, ini adalah satu perkembangan baharu kerana sebelum ini hukuman sebatan dilaksanakan secara tertutup.
“Hari ini, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail telah menjatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, kerana kesalahan berkhalwat berulang.
“Hukuman ini kerana lelaki tersebut mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Hukuman akan dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini, selepas solat Jumaat pada 6 Disember depan dan kita tunggulah jika tak ada rayuan, akan dilaksanakan nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang duda berusia 42 tahun menjadi individu pertama di Terengganu dijatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Untuk rekod, pada 19 Februari itu, Mohd. Affendi juga menjadi pesalah khalwat pertama yang dijatuhi hukuman empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen tersebut.
Sebelum itu, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Berdasarkan enakmen itu, kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.
Muhammad Khalil memberitahu, pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka itu memerlukan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika dilakukan di pasar-pasar awam.
“Jika dilakukan di masjid pula, sudah tentulah kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu diperlukan untuk pelaksanaannya nanti,” katanya. – UTUSAN