TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit untuk menyimpan barangan kawalan melebihi kuota sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bila-bila masa dari sekarang.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, selain itu mereka turut dibenarkan untuk menambah dan menyimpan barang kawalan berjadual sebanyak 30 peratus selama lima bulan melebihi kuota sedia dia.
“Jumlah itu melebihi had simpanan sedia ada dalam lesen runcit barang kawalan berjadual (CSA). Hal ini bagi memastikan bekalan mencukupi serta mudah diperolehi di kawasan terjejas banjir.
“Biasanya tengkujuh bermula bulan ini (November) hingga Mac tahun depan selama lima bulan,” katanya kepada pemberita selepas Pengurusan Bencana Banjir Bagi Kesiapsiagaan Keberadaan Bekalan Keperluan di ABM Maju Solution Kota Kubang Labu di sini, hari ini.
Azman memberitahu, sebanyak 21 barang kawalan termasuk beras, minyak masak, gula, susu, gandum dan beberapa barang keperluan lain boleh didapati di 67 peruncit dan 66 pemborong serta 15 premis stesen minyak yang telah dilantik.
Katanya, KPDN Kelantan sudah merancang untuk mengadakan jualan rahmah ketika musim banjir.
“Pelaksanaannya mungkin berbeza dengan negeri lain, di Kelantan jika perlu kita akan adakan jualan ini di kedai terlibat.
“Banjir di Kelantan mengambil masa lama untuk surut, banyak kawasan yang terkepung, terputus hubungan. Jika diadakan jualan rahmah di lokasi tertentu, ramai yang tak dapat keluar kerana terkepung,” katanya. – UTUSAN