KUALA TERENGGANU: Musim tengkujuh kali ini memberi rezeki luar biasa kepada penduduk Kampung Banggol Katong dekat Serada lantaran hasil tangkapan meningkat hampir tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
Penduduk, Mohd. Zakhir Saad, 33, berkata, berbanding dua hingga empat tahun lalu, penduduk yang menangkap ikan menggunakan pukat di pinggir Sungai Terengganu berjaya memperoleh purata 100 hingga 150 kilogram ikan pelbagai spesies setiap hari.
“Saya dan rakan-rakannya, gembira kerana hasil penat lelah mereka berbaloi walaupun hasil tangkapan dijual pada harga hanya RM5 sekilogram.
“Antara ikan yang sering masuk ke dalam pukat ialah ikan haruan, ikan keli, tilapia, sebarau dan baung, bergantung atas rezeki,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Hasil tangkapan di jual kepada penduduk kampung dan turut menjadi buruan ramai peraih ikan yang membuat tempahan sehari awal dalam kuantiti yang banyak untuk menjualnya semula di luar kawasan.
Penduduk, Mohd. Nor Shahdan, 31, berkata, hasil tangkapan mereka ‘licin’ dalam tempoh sejam sahaja kerana ikan-ikan tersebut memang digemari ramai kerana segar dan sedap.
“Orang kampung sekitar kawasan ini memang akan borong hasil tangkapan kerana ia boleh disimpan lama dalam peti sejuk beku, ada juga yang simpan untuk anak cucu yang tinggal dari jauh untuk dijadikan hidangan apabila berkumpul di kampung,” katanya yang tidak bercadang menaikkan harga jualan lantaran ia adalah sebahagian daripada cara mereka berkongsi rezeki dengan peminat ikan sungai. – UTUSAN