PUTRAJAYA: Teknologi pendigitalan tidak menokhtahkan budaya membaca buku fizikal, sebaliknya ia saling melengkapi antara satu sama lain.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, teknologi itu dilihat mendukung, membantu, dan meningkatkan budaya membaca buku di negara ini.
“Sebab itu, semasa kita lancarkan program baucar buku baru-baru ini, kita siapkan bersama pelantar (platform) khas, maknanya teknologi itu mendukung.
“Pada masa sama, orang-orang seperti saya ini yang konvensional masih memerlukan kedai buku ini dan masih hadir ke kedai buku untuk mendapatkan buku secara fizikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan semula MPH Bookstores (MPH) di pusat beli-belah Alamanda Putrajaya di sini, hari ini.
Katanya, beliau melihat kewujudan kedai buku penting bagi memastikan budaya membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Fadhlina berkata, inisiatif baucar buku yang dilaksanakan baru-baru ini membantu melonjakkan minat membaca dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
“Selain itu, ibu bapa juga boleh membantu anak-anak mendapat bahan bacaan yang terbaik,” katanya.
MPH Bookstores di Alamanda Putrajaya pernah beroperasi di lokasi sama sebelum ditutup selama dua tahun.
Kini, kedai buku berkeluasan 5,000 kaki persegi itu beroperasi semula dengan menampilkan reka bentuk kedai baharu yang segar, seperti diperkenalkan di kedai utama MPH di The Exchange TRX.
Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross berkata, kedai buku ini memperlihatkan
reka bentuk kontemporari yang menggunakan elemen kayu cerah dan perincian gangsa iaitu melambangkan arah baharu MPH sebagai destinasi yang inspirasi dan moden.
“Kami pernah berada di lokasi ini sebelum ini dan sehingga pandemik Covid-19 dan kami sangat teruja untuk kembali dengan lebih baik dan berani,” katanya. – UTUSAN