Tanpa tonggak utama, isu gaji berlarutan KDA tetap ‘bernafsu’ tewaskan KL City - Utusan Malaysia

Tanpa tonggak utama, isu gaji berlarutan KDA tetap ‘bernafsu’ tewaskan KL City

SONY Norde bersama rakan sepasukan meraikan jaringannya yang membantu KDA FC menewaskan KL City dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - IHSAN KDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membawa bekalan selesa apabila menang 3-2 ke atas KL City meskipun beraksi tanpa beberapa pemain utama serta hanya memiliki seorang pemain simpanan sepanjang aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam ini.

Belum pun permainan dimulakan, penyokong Sang Kenari sudah mula hairan berikutan ketiadaan Ifwat Akmal Chek Kassim; Syafiq Ahmad; Ariff Farhan Md. Isa; Amirul Hisyam Awang Kechik dan Halim Saari yang tidak berada dalam kesebelasan utama meskipun nama mereka dalam senarai akan dibariskan.

Tempat mereka kemudiannya digantikan oleh Wan Muhammad Syazmin, Loqman Hakim Marzuki, Fayadh Zulkifli serta Hasbullah Abu Bakar yang pada awalnya diletakkan di bangku simpanan.

Selain itu, hanya seorang sahaja pemain simpanan KDA FC iaitu Akmal Hakim Rosli dilihat berada di tepi padang bersama barisan jurulatih diketuai Nafuzi Zain.

Di sebalik semua keadaan itu, KDA FC terlebih dahulu mengancam pintu gol pelawat apabila sepakan percuma diambil kapten, Sony Norde dari jarak kira-kira 30 meter hanya sedikit tersasar pada minit ke-2.

Seakan terkejut dengan ancaman awal itu, KL City membalas dengan melakukan serangan bertubi-tubi hingga mereka berjaya membuka jaringan menerusi rembatan deras Ryan Lambert dari luar kotak penalti pada minit ke-13.

Namun, gol itu gagal membunuh semangat Sang Kenari yang bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi Sony menerusi rembatan deras juga dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol KL City, Azri Ghani.

Seakan langsung tidak terganggu dengan masalah melanda pasukan, Sony sekali lagi meledak pada minit ke-30 setelah dia yang tidak dikawal melepaskan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk gol kedua tuan rumah.

Ketika waktu rehat, suasana stadium sekali lagi kelihatan janggal apabila hanya pemain pelawat yang memanaskan badan manakala tiada seorang pun pemain simpanan tuan rumah kelihatan di padang.

Memasuki babak kedua, KL City lebih menguasai perlawanan dengan Miroslav Kujanac membawa masuk Haqimi Azim Rosli serta Paulo Josue bagi memantapkan bahagian serangan. Langkah itu gagal memberi impak kepada pasukan pelawat, sebaliknya KDA FC yang menambah jaringan pada minit ke-68.

Gol ketiga itu terhasil apabila Ebenezer Assifuah bijak membuat hantaran lolos kepada Sukhrob Nurulloev untuk pemain sayap lincah dari Uzbekistan itu melakukan sungkitan dari dalam kotak penalti, bagi menewaskan Azri dalam kedudukan satu lawan satu.

Belum pun sorakan penyokong tuan rumah reda, pemain tengah KL City, Jovan Motika kembali menghidupkan cabaran apabila menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-72 untuk keputusan berakhir dengan jaringan 3-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya