Tangkap Netanyahu bukti kemenangan, tegak keadilan

Tangkap Netanyahu bukti kemenangan, tegak keadilan

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir meluangkan masa menjamu selera di Medan Selera Presint 9, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai satu kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza.

Menurutnya, keputusan ICC itu juga wajar kerana ia berlandaskan hukum dan bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan rakyat Palestin.

“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (Netanyahu) keluar harus ditangkap.

“Saya perhatikan ada bebe­rapa negara Eropah yang telah buat kenyataan sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Su­rau Al-Husna, Presint 9, di si­ni semalam.

Anwar berkata, keputusan itu juga satu pengesahan tentang apa yang berlaku selama ini yang kadang-kadang dipertikaikan sebahagian orang.

Katanya, ICC adalah badan yang memutuskan berdasarkan hukum dan bukti.

Ditanya mengenai keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menentang keputusan dikeluarkan ICC itu, Anwar berkata, itu adalah keputusan AS tapi seluruh dunia pastinya menyo­kong perkara itu.

“Itu keputusan AS tetapi sa­ya rasa keputusan dunia se­balik­nya,” katanya.

Selain Netanyahu, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.

Menurut pendakwaraya ICC, Karim Khan dalam satu kenya­taan, waran tangkap itu dikeluarkan susulan pembabitan mereka dalam jenayah perang di Gaza dari 7 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.

Keputusan itu juga dibuat se­lepas mahkamah menolak hu­jah Israel mengenai kekura­ngan bidang kuasa ke atas wa­ran tangkap Netanyahu dan Gallant.

Terdahulu, Anwar menyantuni komuniti di Pusat Pentadbiran Kerajaan dengan menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna, Presint 9.

Solat Jumaat berkenaan diimamkan Ustaz Mohd. Firdaus Mohd. Suhan itu disertai lebih 1,000 jemaah.

Anwar bersama jemaah turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Meraih Syarat, Menagih Selamat di Akhirat’ yang disampaikan Ustaz Mohd. Firdaus.

Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu mengingatkan jemaah supaya melazimi kehidupan di dunia ini di atas landasan akidah yang benar dan sentiasa mematuhi ketetapan syarak menjadi sumber kere­dhaan dan bantuan syafaat.

Khatib juga mahu jemaah supaya berdam­pingan dengan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak berselawat dan berdoa untuk baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya