IPOH: Orang ramai terutama agensi atau pengusaha aktiviti rekreasi di air diminta untuk menghentikan sementara aktiviti riadah di lokasi berisiko berlaku kepala air sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL) ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, semua pihak perlu lebih peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan diri dan keluarga.
“Sebelum ini, saya ada keluarkan senarai ‘hotspot’ kepala air tapi ada pihak-pihak yang tidak senang. Cuma bila kita tengok dalam musim dan keadaan cuaca ketika ini yang tidak menentu, saya sekali lagi tegaskan supaya aktiviti berkaitan di air ini untuk dihentikan.
“Hentikanlah sementara sehingga MTL selesai. Kita telah pun beri peringatan dan sepatutnya masing-masing peka supaya tidak berlaku kejadian meragut nyawa.
“Bagi orang awam, mereka percayakan kepada pengusaha, jadi bila pengusaha beritahu okey, mereka pun akan ikut serta. Dalam situasi ini, orang awam juga perlu peka supaya keselamatan terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan November 2024 dan Majlis Sekalung Budi Pesara-pesara JBPM 2024 di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Menurut beliau, kejadian berlaku di Sungai Jahang, Gopeng yang meragut nyawa tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seorang wanita di Sungai Air Beruk, Gerik baru-baru ini perlu dijadikan sebagai ikhtibar.
Katanya, kedua-dua lokasi kejadian lemas itu merupakan antara kawasan yang dikenal pasti pihaknya berlaku kejadian kepala air.
“Tidak lama lagi cuti sekolah akan bermula dan saya percaya ramai ibu bapa akan bawa anak-anak pulang ke kampung. Jadi, dalam kita memeriahkan suasana kekeluargaan, cuba elak aktiviti berkaitan air.
“Malah, dalam waktu-waktu begini, saya nasihatkan agar hentikan dulu aktiviti perkelahan, hari keluarga dan reunion yang diadakan di kawasan air,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, JBPM Perak mengenal pasti sebanyak 21 ‘hotspot’ di lima daerah yang berisiko berlaku insiden kepala air di negeri ini.
Lokasi tersebut adalah Lata Kekabu; kawasan perkelahan Air Berok dan Air Terjun Lawin Selatan (Hulu Perak); Air Terjun, Bukit Jana; Burmese Pool, Bukit Larut; Lata Air Hitam dan Lata Sempeneh (Larut Matang dan Selama); Hutan Lipur Ulu Kenas; Air Terjun Batu Hampar dan Air Terjun Lata Perahu (Kuala Kangsar).
Kawasan lain yang turut terlibat adalah, Kilometer (KM) 28 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland (Gunung Suku); Pusat Rekreasi Lubuk Timah; Kledang Saiong; Kampung Kota Raja; Lata Ulu Chepor; Air Terjun Lata Peyel; Ulu Geruntum dan Sungai Jahang (Kinta); Air Terjun Batu Berangkai; Air Terjun Sungai Salu dan Sungai Sahom, Kuala Dipang (Kampar). – UTUSAN