PETALING JAYA: Satu kejadian tanah runtuh membabitkan tebing berlaku di Jalan Maju Lembah Maju, Pandan Indah dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 4.35 pagi berkaitan insiden tanah runtuh di lokasi tesebut.
Katanya, polis dan pasukan bomba serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah ke tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan parkir awam bersebelahan sebuah longkang besar.
“Terdapat sebuah kereta Proton Saga yang sedang parkir terjatuh ke dalam runtuhan tebing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, menurut beliau, pemilik kenderaan terbabit telah dimaklumkan tentang kejadian.
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Pihak berkuasa sedang menunggu analisis pakar cerun untuk usaha mengalihkan kenderaan terbabit,” ujar beliau.- UTUSAN