PARIT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan arahan baharu tambahan waktu bekerja tiga jam seminggu bagi jururawat di wad hospital di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah wajar dan munasabah.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, bagaimanapun berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan rayuan berhubung isu tersebut yang melibatkan kebajikan jururawat.
“Sebenarnya, kita sudah mempertimbang kebajikan kakitangan KKM sebaiknya, (kebajikan) sudah diambil kira dan bagi waktu rehat secukupnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis penyerahan projek Hospital Seri Iskandar (HSI)dan blok baharu Hospital Seri Manjung (HSM) oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di HSI hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurut, Dr. Dzulkefly, walaupun jururawat perlu bekerja 45 jam seminggu mulai 1 Disember ini, berbanding 42 jam sebelum ini, waktu bekerja mengikut syif yang lebih fleksibel dapat memastikan kebajikan mereka lebih terjaga.
Jelasnya, waktu bekerja jururawat ditetapkan antara empat hingga enam hari seminggu dengan tempoh bekerja sehari tidak kurang lapan jam dan tidak melebihi 12 jam.
Pada masa sama, mereka diwajibkan berehat sejam secara bergilir dalam tempoh tersebut selain diberi cuti antara satu hingga tiga hari cuti seminggu.
Beliau diminta mengulas kebimbangan pelbagai pihak berhubung arahan baharu di bawah SSPA yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu iaitu daripada 42 jam ketika ini kepada 45 jam, mulai 1 Disember depan.
Sebuah portal berita memetik kenyataan Senator RA Lingeshwaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, bahawa bekerja 45 jam seminggu adalah lebih sesuai untuk penjawat awam di pejabat yang bekerja lima hari seminggu dari 8 pagi hingga 5 petang dengan cuti hujung minggu.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Saaidah Athman pula dipetik berkata, tidak adil membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.
Dalam pada itu, beliau memberitahu keputusan menukar waktu operasi Klinik Kesihatan Tanjung Malim daripada 24 jam kepada lapan jam sehari, adalah bagi mengembalikan semula fungsinya sebagai klinik di bawah kesihatan awam.
Jelasnya, KKM perlu memastikan kesaksamaan operasi semua klinik kesihatan seluruh negara iaitu beroperasi untuk kesihatan awam, bukannya wad kecemasan.
Selaras keputusan itu, beliau memberitahu Hospital Slim River menempatkan sebuah ambulans dalam keadaan bersedia di Tanjung Malim, untuk sebarang kecemasan. – UTUSAN