Tak perlu tunggu berjam-jam,ubat percuma terus ke rumah

Tidak perlu tunggu berjam-jam, ubat percuma terus ke rumah

LING Tian Soon berbual dengan pesakit semasa melihat proses kerja penghantaran ubat selain meninjau tahap kesesakan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Program penghantaran ubat percuma melalui pos yang dilancarkan tahun ini berjaya mengurangkan ke­sesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini selain memudahkan pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pesakit tidak lagi perlu menunggu antara dua hingga empat jam untuk menyelesaikan proses tersebut.

Beliau berkata, di Klinik Pakar HSA sahaja, pengurusan hospital menerima kira-kira 2,000 pesakit setiap hari yang datang untuk berjumpa doktor atau mengambil ubat.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM900,000 pada tahun ini untuk melaksanakan program penghantaran ubat percuma melalui pos.

“Hospital sedang mencari cara untuk memperbaiki situasi kesesakan ini termasuk menggalakkan pesakit yang mengambil ubat secara berkala menggunakan per­khidmatan penghantaran ubat melalui pos,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau me­ngadakan lawatan ke HSA bagi melihat proses kerja penghantaran ubat kepada pesakit selain meninjau tahap kesesakan di hospital tersebut.
Beliau berkata, HSA mempunyai bilangan pesakit paling tinggi.

Katanya, sejak program tersebut diperkenalkan, HSA perlu menghantar sekitar 4,100 hingga 4,300 pesanan ubat setiap bulan dan angka itu semakin meningkat.

Jelasnya, bagi pesakit yang layak untuk terlibat program tersebut, Jabatan Farmasi mencadangkan mereka untuk mendaftar.

“Setelah berjaya mendaftar, pesakit hanya perlu menunggu di rumah untuk menerima ubat mereka, yang kini di­biayai oleh kerajaan negeri.

“Oleh itu, kami menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kaedah pengambilan ubat ini. Selain mengurangkan kesesakan, ia juga dapat menjimatkan masa mereka,” katanya.

Selain penghantaran pos, katanya, Jabatan Farmasi turut melaksanakan perkhidmatan ambil ubat secara pandu lalu dengan lebih 240 pesakit menggunakan perkhidmatan ini setiap hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya