JOHOR BAHRU: Malaysia tidak perlu mengikut tindakan Filipina mengeluarkan peta baharu yang menyaksikan pertindihan dalam kawasan maritim negara di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan mengeluarkan peta baharu menunjukkan terdapat perubahan, sedangkan peta negara tiada sebarang perubahan serta masih terpakai hingga kini.
“Peta kita tidak berubah, yang berubah adalah peta mereka (Filipina), mereka ubah sempadan peta dan memasuki kawasan kita, peta kita tetap peta kita.
“Sehubungan itu, kita akan tetap pertahankan kawasan negara dan kedaulatan kita menerusi saluran diplomasi mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) di Masjid Muhajirin, Masai, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Mohamed Khaled menjelaskan, tindakan Filipina bukan satu bentuk serangan terhadap negara, sebaliknya hanya melibatkan isu pertindihan kawasan.
“Semua mesti faham ini bukan satu serangan dari sebuah negara kepada negara kita, ia hanya melibatkan soal tuntutan bertindih. Jadi, pendekatan kita guna adalah berdiplomasi.
“Selagi boleh berbincang dan berunding, kita akan gunakan pendekatan mengikut undang-undang antarabangsa. Bagi menunjukkan itu kawasan kita, kita akan lakukan ‘show of presence’ dan ‘maritime domain awareness’ di kawasan tersebut,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang menegaskan, pihak berkuasa sentiasa mengadakan rondaan secara bersepadu oleh Tentera Laut dan agensi penguatkuasaan maritim negara.
“Kita lakukan rondaan berasaskan keupayaan dan aset yang dimiliki termasuk penggunaan radar, sekiranya ada kapal negara asing memasuki perairan negara, kita akan tahu. Kita juga lakukan protes dan bantahan terhadap tindakan tersebut, tetapi semua tindakan itu menggunakan saluran undang-undang,” jelasnya.-UTUSAN